Friday, June 1, 2012

Jika Mahu, Dapatkan Secara TERHORMAT !

Ketika bergelar mahasiswi, saya menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua. Seronok mengisi masa dengan membaca. Buku ' Islam dan Cinta ' karangan Abdullah Nasih Ulwan menemani saya pada petang hari itu.

Tiba-tiba telefon berbunyi menandakan ada pesanan ringkas ( SMS ) masuk .
" Saudari , Awak kelihatan sangat solehah. Sudikah awak membimbing diri saya yang jahil ini ? Saya mahu berubah. Saya ikhlas dahagakan petunjuk. - Classmate. "

" Membimbing atau mengajak bercinta ? "
soal hati saya.

Jika ikhlas mencari petunjuk, dia sepatutnya berjumpa ustaz, bukan berjumpa saya. Berjumpa saya hanya menyebabkan ruang maksiat terbuka luas.

Sekalipun dia mengajak saya bernikah agar saya dapat mengubah dirinya, saya tidak jahil tabiat lelaki. Lelaki lazimnya tidak suka sekiranya seorang isteri mengubah dirinya. Sekiranya peluang membuat perubahan itu ada, ia tidak boleh dipercayai. Peluangnya tipis.

Mengubah tabiat seseorang bukannya mudah. Apatah lagi sekiranya cara hidupnya terbiasa dengan alpa dan dosa sejak muda.

Perlukah saya memperjudikan masa depan dengan menikahi lelaki yang tidak mampu membimbing diri sendiri ? Adakah dia mampu membimbing keluarganya nanti ?

" Orang minta bimbingan saja. Kenapa fikir jauh sampai soal nikah ? "syaitan mengejek saya.
" Jika aku berani memulakan, kena fikir kesudahan. Nikah dengan lelaki sebegini atau membiarkan anggota badan berzina ? Baik abaikan sahaja kedua-duanya, " saya patahkan hujah syaitan.

Dahulukan yang Utama 


Seorang rakan menuju ke arah saya dan kemudian duduk di sebelah.

"Ramai kawan-kawan kita suka gandingkan nama awak dengan presiden. Boleh saya tahu hal sebenarnya ? " dia mengorek rahsia.

Presiden yang beliau maksudkan ialah jawatan tertinggi dalam persatuan pelajar.

" Itu gosip sahaja. Kami tiada apa-apa pun, " jawab saya ringkas, terus memangkas kemungkinan jika ada soalan susulan.

Saya menyembunyikan rahsia bahawa memang benar presiden pernah menghantar surat risikan kepada saya. Cuma, istikharah dengan Allah dan musyawarah saya dengan ibubapa belum mengatakan dialah orangnya. First thing first.

" Alhamdulillah. Saya sebenarnya sudah lama minat pada presiden," dia meluahkan.

Saya tidak pelik mendengarnya. Wanita yang baik mudah tertarik kepada lelaki yang baik. Itu fitrah. Wanita yang jahat mudah tertarik kepada lelaki yang jahat. Saya tadahkan telinga mendengar bicara hatinya.

Menurutnya, yang ini lain. Rasa tertarik itu pada kesolehan dan akhlaknya. Pada kesamaan visi dan misi dalam dakwah. Masing-masing tahu ada batasan, namun dilemanya hati mendesak untuk memberi perhatian. Hati mendesak untuk menunjukkan sikap memahami. Hati mendesak untuk saling berpesan-pesan atas kebenaran dan kesabaran.

" Awak ikut desakan hati ? " Saya bertanya.
" Saya meminta dia menjaga, memerhatikan, dan menasihati saya agar istiqamah," katanya.
" Apa yang terjadi ? " saya terus bertanya. Menjadi pendengar yang setia.
Dia meluahkan lagi : " Setiap hari, kalau tidak bertemu, rasa ada sesuatu yang hilang. Perlu segera diintai-intaikan."

Ada kerisauan tentang dirinya. Ada keinginan yang kuat untuk mengetahui kondisinya.

" Andai bertemu, berpandangan atau saling berbalas SMS, muncul pula rasa bersalah, gelisah, menyesal dan takut membuat Allah murka. Kenapa ya ? "

" Kerana hati awak masih hidup. Masih cuba mengenal dosa dan pahala," jawab saya.

" Lepas saya mengungkapkan cinta kerana Allah, dia seakan menjauhkan diri. Salahkah saya ? " dia bertanya.

" Tanyalah hati. Bimbang, ungkapan cinta Yang Esa tapi pengisian leka daripada-Nya," jawab saya.

Arif Tabiat Lelaki 


Saya tidak mahu terlalu mudah mengungkapkan cinta. Lelaki yang bakal menerima ungkapan cinta mestilah lelaki high class, bukan lelaki sembarangan. Perlu ada matlamat. Perlu lihat kesudahan; menghampiri syurga atau neraka ?

Saya berkongsi pendapat dengan sahabat saya tadi. Dalam hubungan yang tidak halal, cinta yang fitrah amat senang bertukar menjadi fitnah. Sukar membezakan cinta hakiki dan cinta nafsu kerana topengnya handal, sukar dikenali. Orang biasa mendidik hati mampu mengenalinya.

" Kalau dia tolak saya, saya rasa mahu mati saja," luahnya lagi.

Saya berpesan supaya tidak perlu bertindak bodoh mengucapkan " goodbye " kepada dunia andai kehilangan cinta manusia. Patah tumbuh hilang berganti. Yang penting, Allah setia mencintai.

Selepas rakan saya beredar, saya tertanya-tanya. Kenapa wanita kaya, cantik, bijak, menarik dan solehah sepertinya tidak mendapat tempat di hati presiden ? Kenapa presiden lebih sanggup cuba mendapatkan saya ? Saya hanyalah seorang gadis yang sangat sederhana.

Saya semakin arif tabiat lelaki. Secara semula jadi, lelaki suka akan cabaran. Yang mudah menyerah diri, mudah pula disakiti. Yang sukar didapati, semakin bersungguh dia cuba dapatkan. Maka saya perlu terus menghunus " duri " agar cinta ini terpelihara untuk seorang suami yang diredai Ilahi.

Saya mesti terus belajar tabiat lelaki. Bukan untuk menyaingi atau mengalahkan mereka. Saya cuma tidak mahu diperdaya. Saya melihat betapa ramai wanita telah dipermainkan. Mereka gagal mempertahankan diri. Mereka gagal keluar daripada kebergantungan kepada permainan cinta sandiwara lelaki.

Selaras Sudut Pandang.


Saya tahu saya tidak mampu mengubah tabiat lelaki, tetapi saya mampu membantunya menjadi lelaki sejati. Bukan dengan cara melayan dan membimbingnya menjadi model lelaki idaman. Lelaki pasti mengambil kesempatan atas sebuah kelembutan.

Caranya, saya mesti menghunuskan duri. Awas, jangan dekat ! Jika mahu, dapatkan secara terhormat. Biar lelaki tahu, wanita untuk diselamatkan, bukan untuk diperalatkan demi keseronokan hidup.

Malah setelah bergelar isteri pun, saya tidak boleh berhenti mengenali lelaki. Ada lelaki suka berjanji dan cepat berubah hati. Saya melihat realiti masyarakat. Biar betapa bagus pun layanan seorang isteri terhadap suaminya, ada lelaki yang gagal setia malah sesuka hati memperdaya isterinya. Apatah lagi jika si isteri mempunyai banyak kelemahan, ada lelaki lebih suka menghukum daripada mendidik secara berhikmah.

Saya yakin, ada satu rahsia yang menggerakkan tindakan lelaki. Saya mesti arif rahsia ini. What you see is what you get. Saya mesti bijak menyelaraskan sudut pandang terhadap sesuatu isu sensitif yang melingkari alam rumah tangga sejak mula. Perlu ada jaminan undang-undang untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Bukan kerana tidak percaya, tetapi kerana tabiat lelaki yang cepat berubah.



.solusi isu 44 , page 70 & 71 , oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin.